Friday, May 23, 2008

New Life Begin

Perjalanan hidup mematangkan diriku untuk meneruskan perjalanan hidup yang penuh pancaroba.

Sedikit perkongsian ilmu ingin aku sampaikan, sewaktu mendengar khutbah Jumaat semalam di masjid al-Mukarramah, 23/5/2008. Pesanan khatib begitu terngiang-ngiang di telingaku. Khatib tekankan isu remaja Islam kita yang saban hari semakin runtuh akhlak mereka. Di mana silapnya? Adakah silap remaja itu sendiri, atau ibu bapa, atau guru? Tepuk dada tanya minda... Bagaimana negara akan mempunyai pemimpin yang berakhlak pada masa depan jika akhlak remaja kita sekarang seolah-olah menyamai akhlak remaja di negara Barat, yang sudah tidak mempedulikan soal maruah diri, soal halal haram hubungan bebas lelaki perempuan, dan lain-lain. Hubungan bebas lelaki perempuan berleluasa seolah-olah agama tiada langsung dalam diri remaja kita.

Semua pihak perlu memainkan peranan dalam merencana masa depan anak bangsa kita, terutamanya remaja Melayu kita agar kepimpinan negara akan diterajui oleh mereka yang bertakwa, berakhlak, dan berjiwa Islam. Dengan penerapan ciri-ciri Islam insyaALLAH aku yakin masalah keruntuhan akhlak remaja dapat dibendung. Ibu bapa perlu memainkan peranan mendidik anak-anak, bukan sekadar mengharapkan guru-guru sekolah, pihak masjid juga perlu lebih proaktif dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti ilmiah dan aktiviti berteras Islamik, bukan sekadar menjadi imam/bilal solat sahaja. Pemimpin negeri dan negara perlu lebih peka terhadap hala tuju masyarakat pada masa hadapan. Mahukah kita melihat masyarakat masa hadapan hancur akhlak mereka? Ingatlah bahawa kita semua akan dipersoalkan tentang kepimpinan kita pada hari akhirat kelak.

-Dr Nik